Sunday, March 23, 2008

Kerajaan Kedah akan kaji semula ZIPY






Kerajaan Kedah akan kaji semula ZIPY
Bashir Ishak Fri Mar 21, 08 12:37:16 pm MYT
ALOR SETAR, 21 Mac (Hrkh) - Kerajaan Kedah yang diterajui PAS/BA akan mengkaji semula projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dicadangkan oleh kerajaan terdahulu. -->-->
Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan demikian dalam ceramah Maulidul Rasul 1429 di Stadium Sultan Abdul Halim dekat sini malam tadi.
Katanya, projek tersebut melibatkan lebih 3000 ekar tanah yang merangkumi tanah rakyat seperti kampung dan sawah.

"Ia turut melibatkan tiga kawasan perkuburan, dua buah masjid dan tiga surau, kita sedang mengkaji untuk memindahkannya ke kawasan lain. Kita tak mahu melibatkan kawasan penempatan dan kawasan bendang," katanya.
Pengumuman itu disambut dengan laungan takbir oleh lebih 100 ribu orang yang hadir mendengar ceramah tersebut.
Selain itu, Ustaz Azizan turut mengumumkan satu lagi berita gembira kepada para hadirin iaitu berkaitan dengan kajian semula kadar cukai tanah di negeri Kedah.
Katanya, mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini telah bersetuju untuk melaksanakan pemotongan cukai tanah yang dinaikkan oleh kerajaan memerintah yang lalu.
"Kita akan membuat pemotongan ke atas cukai tanah yang tinggi di negeri ini," umumnya sambil disambut dengan laungan takbir oleh orang ramai.
Ceramah Maulidul Rasul anjuran Kerajaan negeri Kedah ini turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan Negeri, Yang DiPertua Majlis Agama Islam Kedah dan Ketua Hakim Syarie negeri Kedah. - mns

No comments: