Wednesday, May 7, 2008

Pengilang dikesan gred semula beras


ALOR STAR: Seorang pengilang beras di Kerpan dikesan memalsukan gred beras super tempatan 15 peratus hancur kepada super special tempatan 10 peratus hancur, semalam.
Taktik itu dikesan dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Cawangan Kedah pada kira-kira jam 3 petang semalam.
Difahamkan, serbuan oleh tujuh anggota penguatkuasa bahagian itu dilakukan selepas pihak terbabit mendapat maklumat mengenai kegiatan pengusaha kilang terbabit itu yang mengambil kesempatan mengaut untung dengan jalan mudah berikutan krisis beras sekarang.
Ketua Cawangan bahagian itu, Rohim Kalid, berkata pihaknya merampas 35 tan beras bernilai kira-kira RM90,000 yang disimpan dalam kilang berkenaan dan pemiliknya yang berusia 63 tahun sudah disoal siasat.
"Pengilang terbabit dipercayai cuba mengaut keuntungan berlebihan dengan memalsukan gred beras itu berikutan beras super special tempatan 10 peratus hancur dijual pada harga antara RM26 dan RM28 bagi kampit 10 kilogram (kg), berbanding RM16.50 bagi kampit 10 kg bagi beras super tempatan 15 peratus hancur.
"Hasil siasatan, pemilik kilang itu didapati melakukan dua kesalahan iaitu memalsukan gred beras dan tidak mengeluarkan gred beras di bawah syarat lesen," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.


sumber: http://www.bharian.com.my

No comments: